Monday, 02 June 2008
KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) bimbang agensi pembekal pembantu rumah di Indonesia tidak lagi berminat menghantar pembantu rumah dari negara itu ke negara ini.Keadaan itu mula kedengaran apabila agensi berkenaan termasuk yang membekal pekerja sektor peladangan dan pembinaan di Indonesia, dikatakan tidak senang dengan peraturan baru diperkenalkan kerajaan Malaysia berkaitan kursus induksi membabitkan kos tambahan yang perlu mereka tanggung sebanyak AS$30 atau kira-kira RM93.Ia berikutan mulai semalam kerajaan Malaysia menguatkuasakan peraturan baru kepada pekerja Indonesia yang mahu bekerja di negara ini, diwajibkan mengikuti kursus itu selama sehari dan diberi sijil kelayakan dengan dikenakan bayaran RM120 yang ditanggung majikan.Selain itu, AS$30 lagi perlu ditanggung agensi berkenaan di Indonesia dan jika gagal mengikuti kursus itu, bakal pekerja atau pembantu rumah terbabit tidak layak diberi visa bekerja di Malaysia.Jika masih mahu datang ke Malaysia, mereka perlu menduduki kursus induksi seterusnya di pusat kursus yang disediakan di Indonesia antaranya di Lombok, Surabaya, Palembang, Jakarta, Medan, dan Batam dan bayaran sebanyak AS$30 perlu ditanggung agensi berkenaan di Indonesia.Presidennya, Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata apa yang membimbangkan kos sebanyak AS$30 yang dikenakan kepada agensi di Indonesia itu juga akhirnya terpaksa ditanggung majikan di sini, selain terpaksa menanggung bayaran bagi kursus induksi sebanyak RM120.Katanya, agensi pembantu rumah di sini mustahil sanggup menanggung kos yang ditanggung agensi di Indonesia sebanyak AS$30.Beliau mendakwa, agensi di Indonesia pula tidak teragak-agak menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia jika majikan di sini tidak bersedia berkongsi menanggung kos tambahan itu.“Inilah masalah dihadapi Papa sekarang seolah-olah tersepit untuk menguruskan kemasukan pembantu rumah kerana kos semakin meningkat yang terpaksa ditanggung majikan di sini.“Agensi pembantu rumah di sini tidak mungkin menanggung kos yang ditanggung agensi di Indonesia.“Tetapi, kita bimbang apa akan jadi kepada majikan yang sudah memberi wang pendahuluan untuk mendapatkan pembantu rumah akhirnya terpaksa menanggung kos yang ditanggung agensi di Indonesia itu.“Kita juga bimbang agensi pembantu rumah di sini juga akan gulung tikar apabila agensi di Indonesia tidak lagi mahu menghantar pekerjanya ke negara ini yang mengenakan pelbagai peraturan yang tidak sepatutnya dengan mengenakan bayaran tertentu,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.Kursus itu dilaksanakan berdasarkan persetujuan perjanjian antara kedua-dua negara pada 2005 dengan setiap pekerja dari negara itu yang lulus kursus berkenaan akan memperoleh sijil kelayakan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), sebelum bekerja di negara ini.Sehubungan itu, Zulkepley berkata, kerajaan perlu mengkaji semula peraturan itu bagi mengelakkan majikan di sini terpaksa menanggung beban bayaran tinggi untuk mendapatkan seorang pembantu rumah.Katanya, bagi agensi pembekal pembantu rumah di negara jiran itu tidak menjadi masalah untuk tidak menghantar pembantu rumah ke negara ini kerana masih banyak negara lain yang sedia membayar pada harga lebih tinggi.“Jika agensi berkenaan di Indonesia bertindak tidak menghantar pembantu rumah ke negara ini, sudah pasti memberi kesan kepada majikan di negara ini yang memerlukan khidmat pembantu rumah.“Agensi pembantu rumah di negara ini juga yang sekian lama menjadi pihak yang diberi tanggungjawab secara sah oleh kerajaan menguruskan kemasukan pembantu rumah asing turut terjejas perniagaan mereka apabila tidak dapat membawa masuk pembantu rumah apabila kos meningkat terlalu tinggi.“Ketika ini pun bayaran untuk mendapatkan seorang pembantu rumah Indonesia antara RM6,000 hingga 6,500 dan mungkin meningkat apabila agensi di Indonesia juga terpaksa menanggung bayaran berkaitan kursus injuksi untuk setiap pekerja negara itu yang ingin bekerja di Malaysia,” katanya.Katanya, Papa yang juga mengadakan mesyuarat khasnya semalam membincang isu berkenaan bersetuju meminta kerajaan membuat kajia semula supaya tidak membebankan majikan di sini.Katanya, Papa akan menghantar surat berkaitan keputusan mesyuarat khas itu dalam masa terdekat kepada Kementerian Sumber Manusia dan menyemak semula peraturan berkaitan dasar pekerja asing. “Kita hairan kenapa bagi pekerja dari Indonesia perlu mengikuti kursus injuksi itu, sebaliknya bagi pekerja asing dari Myanmar dan Vietnam kursus itu yang sudah berjalan sejak tahun 2005, kini dihapuskan sejak dua minggu lalu,” katanya.
Oleh Azman Mahmood
Berita Harian,2 Jun 2008
No comments:
Post a Comment