Friday, July 3, 2009

KL, Jakarta bincang isu pembantu rumah Isnin ini (6hb July 2009)


SEPANG: Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Buruh Indonesia, Erman Suparno di Putrajaya Isnin ini bagi membincangkan perkara berkaitan pekerja Indonesia di negara ini.

Perkara yang akan menjadi agenda utama perbincangan mereka ialah tindakan Indonesia menghentikan penghantaran rakyatnya untuk berkhidmat sebagai pembantu rumah di Malaysia, kata Dr Subramaniam pada sidang akhbar di sini hari ini.

"Beliau (Erman) akan berjumpa saya pada tengah hari Isnin. Saya akan terlebih dulu mendengar pendapatnya tentang isu yang ditimbulkan, terutama tentang langkah Indonesia menyekat pembantu rumahnya ke Malaysia.



"Saya harap perjumpaan ini akan dapat menyelesaikan beberapa isu tertangguh demi manfaat kedua-dua negara," katanya sebelum merasmikan Program Pembangunan Belia India.

Khamis lalu, Erman mengumumkan negaranya akan menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sekurang-kurangnya sehingga berlangsungnya mesyuarat dua hala Malaysia-Indonesia di Kuala Lumpur pada pertengahan Julai bagi membincangkan perjanjian baru mengenai pekerja asing.

Dr Subramaniam berkata Malaysia amat menyedari bahawa ia bertanggungjawab menjaga kebajikan pekerja asing yang bekerja di negara ini.

"Pada waktu sama, kami juga bertanggungjawab terhadap majikan yang menggajikan pekerja asing. Saya amat berharap perjumpaan ini akan dapat menyelesaikan isu rumit berhubung tenaga kerja asing, terutama pekerja dari Indonesia," katanya.

Dr Subramaniam berkata tujuan khusus kunjungan rakan sejawatannya dari Indonesia itu ialah bagi membincangkan isu berkaitan pembantu rumah, "tapi, kalau ada isu lain yang ditimbulkan, kami juga akan membincngkannya."

Katanya perjumpaan itu juga akan menetapkan tarikh berlangsungnya mesyuarat Jawatankuasa Tetap Buruh Malaysia-Indonesia.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata kerajaan belum menetapkan gaji minimum bagi rakyat Malaysia yang bekerja dalam beberapa sektor.

"Oleh itu, kami serahkan kepada kuasa pasaran bagi menentukan gaji untuk pekerja. Kami sedang menuju ke arah industri berasaskan pendapatan tinggi dan oleh itu kami berpendapat bahawa apabila industri disusun semula secara automatik, pekerja kami akan diberi gaji yang sewajarnya iaitu dalam lingkungan pendapatan tinggi," katanya.

Dr Subramaniam bagaimanapun berkata, Majlis Gaji Kebangsaan sedang meneliti cadangan gaji minimum bagi mereka yang berkhidmat dalam sektor pelayanan, tekstil, elektronik dan keselamatan. - Bernama

No comments: