Sunday, October 5, 2008

Pembantu Rumah Bermasalah

Serah pembantu rumah bermasalah

KUALA LUMPUR: Majikan yang mempunyai pembantu rumah warga asing dinasihatkan tidak mengambil tindakan sendiri jika mempunyai masalah dengan pekerja mereka.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata nasihat itu bagi memastikan pembantu rumah yang mempunyai masalah tidak bertindak membalas dendam jika mereka dimarahi atau disakiti majikan.

Menurutnya, majikan perlu bersikap positif bagi mengatasi masalah itu dan tidak dipengaruhi emosi sekiranya pekerja mereka melakukan kesalahan.

“Pembantu rumah perlu dilayan dengan baik dan dianggap sebagai keluarga. Jika tidak mereka akan bertindak melarikan diri dan menyebabkan banyak perkara buruk berlaku.


“Ini termasuk mereka akan bertindak mencuri atau lebih teruk lagi akan membalas dendam sehingga berlaku kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Raja Zulkepley berkata, sepatutnya pembantu rumah yang bermasalah itu diserahkan kembali kepada agensi yang membawanya masuk ke negara ini, untuk diberi kaunseling, sebelum diambil semula bekerja.

Beliau mendakwa pembantu rumah yang diambil melalui agensi tidak diiktiraf, berisiko melarikan diri kerana mereka pernah bekerja di negara ini.

“Bagi mengelak kejadian itu berlaku, orang ramai harus mengambil pembantu rumah melalui Papa kerana kami memastikan pekerja yang diambil berkualiti.

“Selain itu, Papa memastikan pembantu rumah diasuh dan diajar bagi memastikan mereka tidak membuat masalah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut membuat pemeriksaan berkala bagi memantau keadaan pembantu rumah bagi memastikan mereka dalam keadaan baik, sekali gus mengelakkan berlakunya penderaan.