Friday, September 5, 2008

Syarat ambil amah Muslim

Bukan Islam perlu penuhi syarat ambil amah Muslim
Tuesday, 02 September 2008

KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA) mencadangkan majikan bukan Islam yang ingin menggunakan pembantu rumah asing beragama Islam, memenuhi dulu syarat tertentu yang ditetapkan terlebih dulu sebelum membuat permohonan. Antaranya termasuk menyediakan bilik penginapan khusus pembantu rumah berkenaan dan memudahkan untuk beribadat disusuli dengan pemeriksaan oleh pegawai penguat kuasa Imigresen bagi pengesahan syarat itu dipatuhi. Presiden PAPA, Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata, syarat itu dan mewajibkan majikan menandatangani surat akuan membenarkan menunaikan ibadat wajib seperti sembahyang dan berpuasa sudah lama sedia maklum oleh majikan bukan Islam."Masalahnya, ada majikan terbabit tidak mematuhi peraturan menyebabkan ramai pembantu rumah yang beragama Islam melarikan diri apabila terpaksa melakukan kerja membabitkan perkara haram di sisi Islam seperti memasak daging babi, tidak dibenar sembahyang atau berpuasa."Dalam hal ini, Imigresen sepatutnya membuat pemeriksaan dan pemantauan berkala terhadap majikan bukan Islam yang menggaji pembantu rumah Islam supaya tidak dieksploitasi untuk melakukan kerja bertentangan dengan Syarak," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Minggu lalu, Berita Harian melaporkan kerajaan mengetatkan syarat permohonan bagi pembantu rumah asing supaya mereka tidak dieksploitasi oleh majikan termasuk cadangan hanya membenarkan pembantu rumah beragama Islam bekerja dengan majikan Islam.Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung, berkata bagi majikan bukan beragama Islam yang mahu menggaji pembantu rumah beragama Islam, mereka wajib menandatangani perakuan pengambilan pekerja berkenaan.Mengikut peraturan, surat perakuan itu juga perlu ditandatangani Pegawai Kerajaan Kumpulan A.Raja Zulkepley mengakui ada majikan bukan Islam mengeksploitasikan pembantu rumah asing Islam dari Indonesia turut dijadikan pekerja di restoran tidak halal."Pihak Jabatan Tenaga Kerja Indonesia pernah membangkitkan kepada saya berkaitan majikan bukan Islam di Malaysia menyalahgunakan pembantu rumah Islam negara itu melakukan kerja bertentangan dengan Syarak. Mereka mahu kerajaan memberi perhatian serius," katanya.Bagaimanapun, katanya Papa tidak mempunyai statistik jumlah pembantu rumah asing Islam yang dieksploitasi majikan bukan Islam untuk melakukan kerja bertentangan tuntutan agama atau yang dinafikan hak mereka.Katanya, langkah terbaik mengatasi masalah itu ialah menetapkan supaya pembantu rumah asing yang beragama Islam hanya dibenarkan bekerja dengan majikan Islam manakala yang bukan Islam pula sebaliknya.Beliau berkata, Papa juga pernah mengemukakan permohonan meminta kerajaan membenarkan pengambilan pembantu rumah warga asing dari China dan Myanmar dibawa masuk untuk dibekalkan kepada majikan bukan Islam di negara ini."Ketika ini negara sumber baru tenaga kerja pembantu rumah asing ialah India, Vietnam, Laos dan Nepal yang diluluskan kerajaan akhir tahun lalu."Jumaat lalu Papa sudah berbincang dengan pihak Kedutaan Nepal untuk membawa masuk pembanru rumah asing dari negara itu dan beberapa persetujuan awal sudah dicapai termasuk kos membiayai kemasukan juga dijangka lebih murah berbanding dari negara sumber lain," katanya.

No comments: