Sunday, September 6, 2009

Terlalu mahal dan tidak setanding – PAPA

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Cadangan gaji minimum RM800 untuk pembantu rumah Indonesia terlalu mahal dan tidak setanding dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan.
Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Zulkepley Dahalan berkata, ia juga hanya akan membebankan majikan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya gaji pembantu rumah tersebut ditetapkan mengikut pasaran semasa.
“Keadaan kita berbeza dengan negara-negara lain. Mereka sudah diberi cuti satu hari seminggu. Jika diminta bekerja pada hari cuti majikan kena membayar mereka berganda,’’ kata beliau ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan yang menyebut Kerajaan Indonesia minta gaji minimum RM800 sebulan dibayar kepada pembantu-pembantu rumah yang bekerja di Malaysia.
Perkara itu dinyatakan dalam mesyuarat dua hala Malaysia dan Indonesia yang diadakan di Jakarta, Jumaat lalu.
Laporan tersebut memetik berita yang disiarkan dalam portal berita Indonesia Kompas online yang melaporkan Duta Indonesia ke Malaysia, Da’i Bachtiar berkata demikian dalam majlis berbuka puasa bersama 400 pekerja asing Indonesia di pejabat beliau di sini Khamis lalu.
Mengulas lanjut, Zulkepley mengharapkan kadar gaji itu dikaji semula demi kebaikan kedua-dua belah pihak.
Jelas beliau, rata-rata gaji minimum pembantu rumah Indonesia di negara ini ialah RM450 hingga RM600 sebulan.
“PAPA sedang meneliti perkembangan isu itu. Terpulang kepada kerajaan bagaimana mahu menyelesaikan masalah tersebut.
“Isu gaji cuma salah satu isu sahaja. Banyak lagi isu berkaitan dengan pembantu rumah asing di negara ini, contohnya pembantu rumah lari dan sebagainya,’’ kata beliau.
Dalam pada itu, beliau menyarankan supaya diadakan kempen khas supaya majikan tidak mengambil pembantu rumah yang pernah lari daripada majikan mereka yang lain.
Katanya, kempen yang dinamakan ‘Tak Nak Pembantu Rumah Yang Lari’ sangat perlu kerana sudah menjadi masalah yang membebankan banyak pihak sejak kebelakangan ini.

No comments: