Monday, June 23, 2008

Agensi tersepit

Saturday, 24 May 2008
PUTRAJAYA: Penghantaran pembantu rumah warga asing dari Indonesia ke negara ini akan terjejas berikutan peraturan mewajibkan majikan membayar sebanyak RM120 untuk mendapatkan pekerja dari sana bagi menghadiri kursus induksi di negara jiran itu sebelum dibenarkan bekerja di sini.Presiden Persatuan Agensi Pembantu Asing (Papa), Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata peraturan itu berkuat kuasa semalam menyebabkan agensi pembantu rumah negara jiran itu semakin ‘tersepit’ berikutan terpaksa menanggung kos semakin meningkat.“Memang benar bayaran ini ditanggung majikan di negara ini tetapi agensi pembantu rumah asing di Indonesia perlu menanggung kos menghantar pembantu rumah menghadiri kursus ini.“Berikutan kenaikan harga minyak di negara jiran itu, ia menyebabkan agensi di negara itu perlu menanggung kos pengangkutan, makan dan minum yang meningkat. “Kami difahamkan, berikutan peraturan ini, mereka (agensi) semakin kurang berminat menghantar pembantu rumah ke negara ini,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.Beliau mengulas laporan akhbar mengenai kursus induksi yang wajib dihadiri pekerja dari negara itu dengan kos sebanyak RM120 ditanggung majikan dari negara ini.Kursus itu dilaksanakan berdasarkan persetujuan dalam perjanjian antara kedua-dua negara pada 2005 dengan setiap pekerja dari negara itu yang lulus kursus berkenaan akan memperoleh sijil kelayakan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), sebelum bekerja di negara ini.Raja Zulkepley berkata, selain memperlahankan penghantaran pembantu rumah dari Indonesia ke negara ini, agensi pembantu rumah tempatan turut berdepan masalah apabila terpaksa menaikkan kos mendapatkan pembantu rumah.“Sebelum ini majikan perlu mengeluarkan antara RM6,000 hingga RM6,500 untuk mendapatkan seorang pembantu rumah dari Indonesia dan melalui peraturan ini, mereka juga perlu menanggung kos sebanyak RM120 seperti yang disyaratkan dalam peraturan itu.“Buat masa ini kita tak tahu sama ada majikan di negara ini bersetuju dengan kenaikan kos yang perlu ditanggung ini kerana belum mendapat maklum balas daripada mereka,” katanya.Beliau berkata, pihaknya berharap majikan yang mahu mengambil pembantu rumah dari Indonesia supaya memahami perkembangan berkenaan bagi mengelakkan agensi pembantu rumah tempatan dituduh cuba mengambil kesempatan.“Kita tak mahu ada majikan yang beranggapan bahawa kita yang pandai-pandai menaikkan harga kerana yang sebenarnya mereka perlu menanggung kos berkenaan,” katanya.Selain menanggung kos RM120 itu, katanya, majikan mungkin perlu menunggu masa yang agak lama bagi mendapatkan khidmat pembantu rumah dari Indonesia.“Peraturan ini menyebabkan agensi pembantu rumah negara jiran itu lebih berminat menghantar pekerja mereka ke negara lain berbanding negara ini,” katanya.
Oleh Kamarulzaman Pid
Harian Metro,24 Mei 2008

No comments: