Wednesday, June 25, 2008

Soalan Bonus untuk Maid

Amah…oh…Amah…Krisis dan Cabaran

Dah mop lantai, dah cuci bilik air, dah basuh baju, dah lipat kain, dah gosok baju, anak-anak dah mandi, dah masak ker belum… itulah tugasan-tugasan yang perlu dilakukan "basic checklist" atau “KPI” oleh semua pembantu rumah.

Berbagai cerita dan peristiwa telah berlaku yang melibatkan pembantu rumah dan tuan rumah. Pembantu rumah larilah, malas kerjalah, bermain kayu tiga dengan tuan rumah. Manakala, terdapat juga kes-kes yang mengatakan tuan rumah mendera pembantu rumah dan sebagainya. Itulah asam garam dan peristiwa yang berlaku melibatkan pembantu dan tuan rumah.

Untuk mendapatkan seorang pembantu rumah, majikan atau tuan rumah terpaksa mengeluarkan beribu-ribu ringgit sehingga mencecah RM5,000 ke RM7,000. Manakala gaji yang diminta kini telah menjangkau RM450. Itu pembantu rumah dari Indonesia. Kalau dari Filipina katanya sudah menjangkau RM800 sebulan. Satu pelaburan yang agak besar dan terpaksa bertungkus-lumus untuk menyimpan sejumlah wang. Jikalau pelaburan yang dibuat itu mendatangkan hasil iaitu menepati ciri-ciri seorang pembantu rumah seperti yang diharapkan, tidak mengapa. Tapi bagaimana pula jika hanya beberapa minggu atau bulan, akhirnya pembantu rumah itu lari. Nescaya kemarahan dan kerugian akan hadir dalam diri tuan rumah. Pasti sumpah seranah dan geram berbuku akibat peristiwa yang berlaku. Kalau mereka lari begitu sahaja tak apa, tapi lari dengan mencuri barang-barang berharga dan meninggalkan anak-anak kecil sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian akan menjadi lebih hura hara dan hiba. Hancur sudah perasaan yang dipasang oleh tuan rumah untuk mempercayai pembantu rumah bagi menjaga anak-anak ketika keluar bekerja mencari rezeki tapi sebaliknya musibah yang menimpa. Jika kejadian pembantu rumah lari, alamat hanguslah sudah wang yang telah dilabur dan terpaksa mengumpul semula. Bagi yang kaya mungkin tak terlalu sukar, tapi yang kurang berkemampuan, tergagau-gagau jugalah nak cari duit sebanyak itu.
Dalam menghadapi krisis dan cabaran yang dilalui, apakah faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku.
Kenapa pembantu rumah ini sanggup bertindak zalim dan menyakitkan hati tuan rumah yang sudah bertungkus lumus membiayai dan mengeluarkan sejumlah wang yang banyak?
Apakah peristiwa atau perkara-perkara yang berlaku, lantas pembantu rumah itu lari?
Siapakah mangsa sebenar jika pembantu rumah yang lari? Majikan atau Agensi..
Siapakah dalang atau adanya sindiket yang menyebabkan pembantu rumah lari?
Apakah tindakan pihak berkuasa dalam menangani perkara ini?
Peranan tuan rumah yang lebih efektif dalam menangani dan mempastikan pembantu rumah tidak lari?

Tidak disangkal lagi, pembantu rumah yang datang ialah mereka mempunyai tahap ilmu pengetahuan yang sangat rendah. Mungkin mereka terkejut dengan persekitaran yang agak berbeza di sana yang miskin dan kurang segala-galanya. Bagi mengadaptasi mungkin mengambil masa yang lambat sedikit. Ada yang terkehadapan atas sebab pengalaman bekerja sebelum ini. Akan menyebabkan mereka “kerek” sedikit.

Pengurusan emosi dan cara easy komunikasi antara perseorangan dengan efektif adalah sebaiknya. Memahami dia sebagai manusia yang penuh kekurangan dan kita sebagai majikan yang perlu mengajar dengan penuh kesabaran dan tegas. Ada kata-kata mengatakan “closed one eyes” atas kerja-kerja jika tidak sempurna. Harus terus menerus diajar dan dibimbing dengan betul.
Peranan pihak berkuasa bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dengan lebih ketat. Tegas dalam memberi denda. Memerangi sindiket yang didalangi warga tempatan dan warga Indonesia sendiri. Rancangan yang disusun oleh agen atau dalang tersebut ialah menawarkan kerja dengan gaji yang lebih lumayan di tempat lain seperti di kedai atau restoran. Ianya satu keuntungan lumayan “menjual” pembantu-pembantu rumah sehingga mereka sanggup untuk lari menjadi pendatang tanpa izin kemudiannya. Namun, ada yang memang menanti untuk masuk menjadi pembantu rumah dan selepas itu bercadang lari. Dengan itu, pihak berkuasa harus lebih konsisten, tegas dan mencari mekanisma tertentu bagi menangani kejadian pembantu rumah lari.
Majikan atau tuan rumah, kadang-kadang dikatakan juga punca kenapa pembantu rumah lari. Antara puncanya ialah kes dera dari segi mental dan fizikal, pencabulan dan rogol. Dengan itu, pasti mereka akan mengambil tindakan untuk lari secara nekad.
Di dalam senario pengambilan pembantu rumah dan urusan yang melibatkan manusia sebenarnya agak sukar mencari jalan penyelesaian. Tiada jaminan yang khusus atau tepat bagi memastikan agar pembantu rumah tidak lari serta majikan tidak mengalami kerugian dan nasib malang. Ianya melibatkan persefahaman dan kesabaran daripada pembantu rumah dan majikan apakah, niat sebenarnya. Jika pembantu rumah, datangnya dia ke sini adalah mencari rezeki dan menolong keluarga di Indonesia. Harus peringatkan mereka tujuan kedatangan mereka ke sini. Manakala majikan ialah bagi meringankan beban di rumah ketika keluar mencari rezeki untuk keluarga. Bukan semua kerja-kerja harus mereka lakukan. Mereka juga manusia. Jikalau kita, mampukah semua tugas rumah dilakukan dengan sempurna dalam satu hari?
Dia manusia, kita manusia, sikap tolenrasi adalah penting. Jika masalah pembantu rumah sering lari akan menyebabkan kebanjiran lebih banyak pekerja asing ke Malaysia mungkin mencorakkan masalah sosial kehidupan yang tidak elok di masa hadapan untuk rakyat dan negara kita.

No comments: