Wednesday, June 25, 2008

Tips Manage Maid wisely

SEJAK akhir-akhir ini kita banyak mendengar tentang pembantu rumah diperlakukan sewenang-wenangnya oleh majikan tanpa belas kasihan. Sebenarnya kehadiran mereka di tengah-tengah keluarga kita adalah untuk membantu menguruskan rumah tangga semasa ketiadaan kita. Tetapi mereka orang asing yang tidak tahu adat resam dan kebiasaan di rumah kita.
Tidak mungkin mereka tahu apa yang kita kehendaki sekiranya mereka tidak diberitahu apakah keperluan kita yang sebenarnya.
Selain persefahaman dan sedikit kesabaran, masalah yang dihadapi di antara majikan dengan pembantu rumah boleh diatasi dengan menentukan keperluan sebenar mereka di rumah kita.
Nyatakan dengan jelas sama ada mereka diperlukan untuk mengasuh anak-anak, mengemas rumah atau kedua-duanya sekali.
Pensyarah Psikologi di Institut Pembangunan Sumber Manusia (IPSM), Che Hasnah Che Musa berkata, ini penting bagi mengelakkan pembantu rumah dibebani tugas berlebihan. Kebiasaannya, jika mereka terlalu teruk dibebani tugas-tugas rumah tangga akan berkesudahan dengan pertelingkahan di antara majikan dengan pembantu rumah.
Che Hasnah seterusnya memberikan beberapa langkah yang boleh diambil bagi dijadikan panduan kepada mereka yang mempunyai pembantu rumah:
Sekiranya pembantu rumah diperlukan bagi menjaga anak-anak khususnya ketika ketiadaan kita, jelaskan kepadanya perangai setiap anak-anak kita.
Contohnya, tingkah laku anak sulung anda yang suka memanjat, Angah yang suka bergaduh dan si bongsu yang kuat menangis.
Mungkin anda boleh terangkan kepada pembantu rumah bagaimanakah caranya untuk melayani anak anda apabila berhadapan dengan kerenah mereka.
Anak-anak perlu diberitahu bahawa mereka akan ditinggalkan dengan pembantu rumah sambil mengingatkan mereka juga agar tidak menyusahkan pembantu rumah.
Sekiranya anak-anak tidak sihat, pembantu rumah perlu diterangkan secara terperinci khususnya tentang jenis-jenis ubat dan masa untuk memberikan ubat kepada anak-anak.
Menurutnya, kehadiran pembantu rumah sebenarnya lebih banyak mendatangkan manfaat jika digunakan dengan betul termasuklah mendisiplinkan anak-anak.
”Contohnya, pembantu rumah boleh mengajar anak-anak mematuhi peraturan dengan memastikan mereka tidur tepat pada waktunya di sebelah petang,” katanya.
”Pesan kepada pembantu rumah bahawa dia bertanggungjawab terhadap segala-galanya di rumah terutama sekali keselamatan anak-anak,” tambah Che Hasnah.
Menurut Che Hasnah lagi, mereka juga hendaklah menjaga anak-anak kita seperti anak, adik atau saudara mara mereka sendiri bagi menghindarkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Selain itu, terangkan kepada pembantu segala yang berkenaan rumah anda seperti cara-cara hendak mengunci pintu, mengendalikan barangan elektrik, menggunakan telefon dan sebagainya.
Pastikan juga mereka tahu kedudukan rumah anda sama ada ia terletak di kawasan taman perumahan, berdekatan dengan pusat rawatan, pasar atau pusat membeli-belah.
”Sebagai langkah keselamatan, anda perlu menegaskan kepada mereka supaya tidak sekali-kali membuka pintu dan membenarkan orang yang tidak dikenali memasuki rumah.
”Jika perlu, hubungi anda atau suami terlebih dahulu bagi mengenal pasti tetamu itu sebelum membenarkan mereka masuk,” katanya.
Mungkin selama ini anda tidak pernah bertegur sapa dan mengambil tahu tentang jiran tetangga tetapi kali ini anda perlu memperkenalkan pembantu rumah kepada jiran.
”Sekurang-kurangnya, apabila berlaku kecemasan, pembantu rumah anda boleh menghubungi mereka.
”Secara tidak langsung, amalan tersebut berupaya mengikis sikap individualistik yang ada dalam diri sebilangan masyarakat sekali gus meningkatkan semangat ukhuwah sesama mereka,” jelas Che Hasnah.
Tambahnya, sebagai manusia biasa, kita tidak pernah menduga apa yang akan berlaku di dalam kehidupan seharian seperti kebakaran, kemalangan dan sebagainya.
Justeru, majikan perlu menasihatkan pembantu rumah supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah panik jika berlaku kecemasan.
Langkah seterusnya yang perlu bagi pembantu rumah tersebut ialah menghubungi anda, suami atau meminta pertolongan jiran dengan segera.
Satu cara yang paling berkesan serta memudahkan pembantu rumah ialah dengan menyediakan satu papan kenyataan dalam saiz yang agak besar dan di tempat yang senang untuk dibaca.
”Tuliskan nombor telefon anda, suami serta beberapa institusi lain yang penting seperti polis, bomba dan klinik untuk dihubungi jika berlaku kecemasan.
”Terangkan juga kepadanya cara-cara untuk mengambil pesanan telefon. Ia penting bagi memastikan maklumat yang diterima adalah tepat,” ujar Che Hasnah lagi.
Bagi mengelakkan masalah penggunaan telefon secara berlebihan, pembantu rumah juga perlu dimaklumkan awal-awal lagi supaya tidak menggunakan keperluan asas di rumah sesuka hati.
”Setiap orang ada kelemahan dan kelebihannya masing-masing,” kata Che Hasnah.
Justeru, sebagai majikan, kita perlu bertolak ansur dengan pembantu rumah yang tidak dapat dinafikan sedikit sebanyak telah meringankan tugas seharian di rumah.
”Mereka wajar dipuji jika diperhatikan berjaya menjaga anak-anak dengan cemerlang di rumah dan bukan itu sahaja malah turut mengemas rumah anda.
”Bawalah berbincang selalu dengannya demi mewujudkan satu suasana yang harmoni dalam keluarga kita,” ujar Che Hasnah.

No comments: