Monday, June 23, 2008

Wajib bayar RM120 kursus induksi - kos lagi

Monday, 02 June 2008
BUTTERWORTH 1 Jun - Kerajaan tetap dengan keputusan untuk mengenakan bayaran wajib sebanyak RM120 kepada majikan yang memohon pekerja dari Indonesia walaupun dasar tersebut didakwa menyulitkan proses mendapatkan tenaga kerja dari republik itu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam berkata, bayaran tersebut dikenakan agar pekerja terbabit menghadiri kursus induksi yang akan dijalankan di negara tersebut, sebelum dibenarkan bekerja di Malaysia.
Melalui kursus induksi itu kata beliau, setiap pekerja akan didedahkan dengan cara hidup dan budaya rakyat Malaysia bagi memudahkan mereka menyesuaikan diri sebelum dibenarkan bekerja di negara ini.
''Ini adalah untuk kebaikan kedua-dua pihak (pekerja dan majikan). Dalam keadaan sekarang kita perlu pastikan pekerja yang datang mengetahui isu-isu semasa selain memahami budaya, cara hidup orang Malaysia.
''Pada masa yang sama, kursus itu juga akan menekankan pengetahuan soal hak-hak dan kebajikan pekerja asing di negara ini," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Konvensyen Perwakilan MIC Pulau Pinang ke-62 di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.
Laporan akhbar sebelum ini, memetik kenyataan Presiden Persatuan Agensi Pembantu Asing (Papa), Datuk Raja Zulkepley Dahalan yang menyifatkan dasar tersebut akan menjejaskan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke negara ini.
Raja Zulkepley berkata, peraturan itu juga akan menyebabkan agensi pembantu rumah negara jiran itu terus tersepit berikutan terpaksa menanggung kos yang semakin meningkat.
Subramaniam berkata, hanya sebahagian kecil daripada bayaran RM120 itu digunakan oleh kerajaan untuk tujuan dokumentasi manakala selebihnya diberikan kepada agensi yang mengendalikan kursus tersebut di Indonesia.
''Hanya kira-kira RM32, kita (kerajaan) gunakan untuk perbelanjaan dokumentasi dan selebihnya dibelanjakan bagi menjalankan kursus oleh agensi yang diiktiraf oleh kerajaan kita di sana (Indonesia)," jelasnya.
Beliau menambah, kursus itu adalah berdasarkan persetujuan dalam perjanjian kedua-dua negara pada 2005 dengan setiap pekerja Indonesia yang lulus kursus berkenaan akan memperoleh sijil kelayakan (CE) Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), sebelum bekerja di negara ini.
Katanya, setiap pekerja asing hanya perlu menjalani kursus induksi ini sekali sahaja dan apabila mereka mendapat CE, mereka tidak perlu menjalani latihan yang sama sekali lagi.
Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
Utusan Malaysia,2 Jun 2008

No comments: